1.0 Pengenalan
Kesusasteraan Melayu merujuk kepada hasil karya dan ciptaan seni yang terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu. Namun, perkembangan masyarakat yang pesat hari ini telah mengubah dan menjarakkan hubungan sastera dengan kehidupan. Perubahan ini telah menyebabkan sastera menjadi satu bidang kegiatan yang khusus dan tersendiri. Sastera yang dahulunya menjadi hak milik bersama kini telah berubah menjadi kegiatan yang berkaitan pernyataan diri dan hak cipta.
2.0 Takrif Kesusasteraan Melayu
Kesusasteraan ialah satu bentuk ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Siti Hajar Abdul Aziz (2011) dalam buku Bahasa Melayu I edisi kedua, perkataan kesusasteraan terbentuk daripada perkataan Sanskrit, iaitu susastera yang bermaksud huruf atau buku indah. Sastera dari segi makna umum bermaksud bahasa yang digunakan dalam kitab-kitab. Menurut kamus, kesusateraan bermaksud hasil seni atau karya tulisan dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang tertentu. Seni kesusasteraan pula ialah seni karang-mengarang bahan-bahan sastera yang berbentuk prosa dan puisi.
3.0 Jenis, bentuk dan ciri
Jenis dan bentuk kesusasteraan mempunyai pelbagai ragam kerana masing-masing memiliki unsur-unsur khusus yang membentuk pola secara berbeza untuk tujuan tertentu. Kesusasteraan Melayu dari segi jenis dan bentuknya dapat dibahagikan kepada prosa tradisional, prosa moden, puisi tradisional dan puisi moden.
Prosa Tradisional
Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2011), tradisional bermakna serius dan abadi nilainya serta menjadi standard kepada yang lain. Hal ini dikatakan demikian kerana prosa tradisional merupakan bentuk kesusasteraan yang masih kekal hingga ke hari ini dan masih menjadi sumber pengetahuan, amalan, pengajaran, sempadan tingkah laku atau pengenalan masyarakat Melayu kepada masyarakat luar.
Selain itu, prosa tradisional berbeza dengan sastera lama kerana sastera tersebut bersifat sementara. Apabila datang yang baharu, maka hilanglah yang lama. Namun, prosa tradisional merupakan sastera yang mempunyai sifat yang diwarisi secara turun-temurun walaupun jangka masa sastera itu telah lama dihasilkan.
Prosa tradisional pada awalnya menerima pengaruh Hindu dan Buddha. Walau bagaimanapun, pengaruh Hindu dan Buddha kurang menyumbang ke arah prosa tradisonal. Walhal, bahasa yang digunakan dan cerita yang dipaparkan sukar difahami. Mereka menggunakan bahasa Sanskrit dan Melayu Kuno serta cerita dewa-dewa yang digambarkan pula jauh beza dengan cara hidup masyarakat Melayu. Selain itu, prosa tradisional terbahagi kepada dua genre, iaitu sastera rakyat (lisan) dan sastera istana (tulisan).
Sastera Rakyat (lisan)
Sastera bermaksud hasil-hasil kreatif yang termasuk dalamnya daya ciptaan imaginasi pencipta yang mengandungi nilai-nilai tersendiri. Masyarakat pula bermaksud kumpulan manusia yang hidup secara berkelompok manakala rakyat pula ialah orang biasa yang hidup kolektif bagi membentuk satu sistem kekeluargaan yang besar.
Antara ciri sastera rakyat termasuklah sastera rakyat disebarkan dan diwariskan secara lisan. Selain itu, sastera rakyat bersifat tradisional dan lama, iaitu berada dalam sesuatu kebudayaan dalam tempoh yang lebih lama daripada dua generasi. Seterusnya, sastera rakyat menjadi hak milik semua masyarakat yang menghasilkannya. Di samping itu, sastera rakyat terbahagi kepada dua kategori iaitu naratif dan bukan naratif. Sastera naratif terbahagi kepada mitos, legenda dan cerita rakyat manakala sastera bukan naratif terdiri daripada puisi rakyat.
i. Mitos
Mitos ialah cerita yang dianggap benar-benar berlaku dan dianggap suci oleh empunya cerita serta masyarakat yang mendukungnya. Selain itu, mitos mengisahkan kejadian alam semesta, manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan dan kejadian alam.Tokoh yang terlibat pula terdiri daripada makhluk halus, dewa atau separuh dewa yang terjadi pada zaman dahulu.
Ciri-ciri mitos termasuklah dianggap benar-benar terjadi, peristiwa yang aneh dan dianggap keramat serta memberi kesan kepada masyarakat serta berlaku pada zaman lampau. Selain itu, mitos terbahagi kepada tiga jenis iaitu mitos asal usul, mitos institusi sosial dan mitos politik. Walau bagaimanapun, setiap mitos ini mempengaruhi kehidupan masyarakat Melayu terutama cara pemikiran yang bersifat mistik dan bersangkut paut dengan sesuatu yang rahsia. Namun, cerita-cerita mitos ini sudah ramai yang tidak percaya kadang-kadang tidak lagi menjadi mitos ekoran daripada pengaruh agama yang dianuti.
ii. Legenda
Legenda ialah cerita yang dipercayai benar-benar berlaku tetapi tidak dianggap suci. Tokohnya pula terdiri daripada manusia yang mempunyai sifat luar biasa. Ciri-ciri legenda termasuklah komunikasi lisan yang bercorak cerita berasaskan kisah-kisah tokoh atau pahlawan. Selain itu, latar masa dan sejarahnya tidak semestinya masa lampau, tetapi masih ada hubung kait dengan masa silam. Di samping itu, kisahnya berkaitan dengan zaman sekarang kerana kepercayaan terhadap keramat seperti Perigi Hang Tuah.
Antara jenis legenda dalam masyarakat Melayu ialah legenda keagamaan, iaitu cerita mengenai orang alim dan penyebar agama. Selain itu, tokoh tersebut memang wujud dan menjadi buah mulut masyarakat. Contohnya, Habib Noh dan Tok Kenali. Seterusnya. legenda yang lain pula ialah legenda alam ghaib yang dianggap benar-benar berlaku. Legenda jenis ini berfungsi untuk meneguhkan kebenaran berkaitan dengan sesuatu kepercayaan. Di samping itu, legenda perseorangan yang berkaitan dengan tokoh-tokoh tertentu yang dianggap semua peristiwa berkaitan benar-benar berlaku.
Tambahan pula, legenda tempat juga merupakan jenis legenda iaitu berkaitan dengan cerita mengenai asal usul tempat. Hal ini dikatakan demikian kerana, nama tempat itu berkaitan dengan nama tokoh atau binatang. Selain itu, terdapat juga legenda beunsur bentuk muka bumi. Misalnya, Batu Gajah nama tempat yang diambil sempena bentuk batu yang berupa gajah. Akhir sekali, legenda tokoh seperti cerita mahsuri juga antara jenis legenda yang wujud.
iii. Cerita Rakyat
Seterusnya, berbeza pula dengan legenda dan mitos, cerita rakyat ialah sumber hiburan dan mempunyai moral atau sindiran. Cerita rakyat juga berbentuk prosa dan tidak dianggap benar perkara itu berlaku. Menurut Utley (1965), berpendapat bahawa sastera rakyat adalah bercorak lisan iaitu disampaikan melalui pertuturan dan satu generasi ke generasi yang lain.
Antara jenis cerita rakyat ialah cerita binatang. Hal ini dikatakan demikian kerana, cerita rakyat mengandungi gambaran sikap dan tingkah laku seperti manusia. Selain itu, ciri cerita binatang ialah watak utamanya binatang yang bersifat serta bertingkah laku seperti manusia. Seterusnya, jenis cerita rakyat yang lain ialah cerita penglipur lara iaitu cerita yang dituturkan oleh para penglipur lara seperti Awang Belanga. Cerita penglipur lara ini berfungsi sebagai hiburan dan pendidikan serta citra sistem masyarakat Melayu tradisional iaitu mendukung ciri tempatan.
Cerita jenaka juga antara kumpulan cerita yang digolongkan dalam cerita rakyat. Cerita jenaka iaitu cerita yang menimbulkan rasa geli hati dan gembira bagi orang mendengarnya. Antara ciri cerita jenaka termasuklah wujudnya unsur kelucuan melalui jalinan cerita yang disampaikan . Di samping itu, watak-watak yang digarap adalah mempunyai sifat-sifat tertentu seperti watak bodoh daripada karya Pak Pandir.
Selanjutnya, cerita teladan juga dikategorikan sebagai cerita rakyat kerana mengandungi unsur moral dan pendidikan serta sasaran pendengarnya ditujukan kepada kanak-kanak. Antara ciri cerita ini termasuklah wataknya terdiri daripada manusia biasa yang mengalami suka duka pada permulaan cerita dan pada akhirnya mendapat kegembiraan dan kebahagiaan. Misalnya, cerita Bawang Putih dan Bawang Merah.
Sastera tulisan bermula sekitar abad ke-15 dan berkembang dalam istana pada zaman dahulu. Selain itu, sastera hikayat dapat terdiri daripada tiga jenis unsur-unsur yang terdapat di dalamnya. Antaranya termasuklah unsur Hindu, Islam, dan Hindu-Islam. Selanjutnya, sastera Istana ini dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu sastera undang-undang. Seperti yang diketahui, sastera undang-undang ini dijadikan sabagai bahan kajian dalam sistem pemerintahan, sistem pentadbiran dan susunan lapis masyarakat lama. Hakikiatnya, perkara ini turut diperkuat dengan dua kumpulan yang diklasifikasikan iaitu Adat Temenggung dan Adat Pepatih. Sebagai bukti yang kukuh, Hukum Kanun Melaka, Undang-undang Laut Melaka dan Undang-undang Pahang merupakan contoh sastera undang-undang.
Sastera epik juga dikenali sebagai sastera pahlawan dan bersifat sejagat. Ciri sastera epik ini termasuklah mementingkan ciri kepahlawanan dan keperwiraan yang unggul. Malah, tokoh ini seringkali memberi gambaran yang berlebih-lebihan sehinggga dianggap sempurna dan disanjung tinggi oleh masyarakat yang melihatnya. Dalam pada itu, sastera agama juga turut memberi fokus kepada ceirta-cerita yang memberi gambaran kehebatan dan keagungan Nabi Muhammad SAW dalam usahanya menyebarkan dakwah Islam kepada umatnya walaupun baginda mendapat cemuhan dan menghadapi pelbagai cabaran. Perkara ini dapat dilihat dalam Hikayat Bulan Berbelah.
Prosa Moden
Menurut Annas Hj Ahmad (1988), hasil karya sastera tergolong dalam sastera moden selepas tahun 1800 Masihi. Tujuannnya untuk memudahkan kita memahami bentuk dan unsur perbezaan dalam sastera Melayu. Misalnya, sajak pada masa kini adalah suatu penyimpangan daripada bentuk puisi lama seperti pantun dan syair.
Prosa moden ini tergolong dalam dua jenis iaitu cerpen dan drama. Cerpen ialah singkatan kepada dua perkataan iaitu 'cerita' dan 'pendek'. Tambahan pula, cerpen sering berkisar mengenai peristiwa yang menjadi fokus utama. Dalam cerpen ini, hanya mengandungi satu tema sahaja dan beberapa persoalan untuk menghasilkan kesan dan menyelitkan mesej kepada pembaca.
Akhir sekali, drama pula merupakan satu bentuk karya sastera menyampaikan mesej dan pengajaran melalui lakonan serta dialog. Erwan Juhara (2014), menyatakan drama adalah satu karya sastera yang mempunyai unsur intrinsik yang telah dibangkitkan dan membawa maksud kesatuan untuk membentuk karya secara keseluruhan.
Puisi Tradisional
Puisi ialah sastera yang paling awal kepada semua bangsa di dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana, masyarakat Eropah menggunakan puisi untuk menghasilkan dua buah epik yang bertajuk Iliad dan Odyssey. Dalam masa yang sama, masyarakat Hindu menggunakan puisi bagi mewujudkan Mahabharata dan Ramayana. Malah, kesusasteraan awal bangsa Arab juga tertulis dalam bentuk puisi dan puisi yang terbaik akan digantung di Ka'abah pada zaman Jahiliah.
Selanjutnya, puisi tradisional memiliki ciri tersendiri iaitu menggunakan bahasa yang baik, ekspresif, mengandungi nilai dan memberi kesan kepada pengalaman dan perasaan. Selain itu, puisi mengandungi pelbagai bentuk tertentu iaitu berurutan dalam baris sejajar, ungkapan kata dan bahasanya diinspirasikan daripada unsur muzik, lagu dan intonasi.
Rajah 2
Puisi tradisional terbahagi kepada empat jenis, salah satunya ialah pantun. Pantun merujuk kepada kaedah rangkap yang tertua dan milik asal masyarakat Melayu. Sebelum orang Melayu belum mengetahui surat menyurat, mereka telah pandai berpantun sehingga boleh berbalas-balas pantun antara mereka. (Za;aba, 1978). Pantun ini bertujuan untuk menyampaikan buah pemikiran dan emosi seseorang.
Ciri-ciri pantun ialah mempunyai rangkap secara berasingan dan boleh berdiri sendiri sebagai kesatuan idea. Bagi pantun empat kerat, baris satu dan dua ialah pembayang manakala baris tiga dan empat ialah maksud. Selain itu, bilangan perkataan bagi setiap baris ialah 4 hingga 6 patah perkataan dan rima atau bunyi akhir adalah sejajar. Seterusnya, jenis kedua ialah gurindam iaitu satu bentuk puisi Melayu tradisional yang diperkenalkan oleh Raja Ali Haji melalui 'Gurindam Dua Belas' pada tahun 1846. Selanjutnya, gurindam mempunyai bentuk terikat iaitu terdiri daripada dua baris serangkap. Tambahan pula, bahasa gurindam ini bernas dan serius manakala isinya mengandungi nasihat, pengajaran dan kebenaran.
Bentuk yang ketiga ialah syair iaitu sejenis puisi berlagu berasal dari Parsi dan telah dibawa masuk ke Nusantara. Selain itu, syair diubahsaikan mengikut kesesuaian bahasa Melayu Klasik ketika itu. Mohd.Yusof Md. Nor (1985), berkata syair berasal daripada puisi Arab iaitu 'sy'ir' tetapi bentuk syair Melayu amat berbeza dengan kesusasteraan Arab. Syair juga mengandungi empat baris serangkap dengan rima akhir 'a','a','a','a' manakala setiap baris mengandungi 4 hingga 5 patah perkataan.
Akhir sekali, bentuk puisi tradisional ialah seloka. Menurun Harun Mat Piah (1989), seloka berasal daripada perkataan Sanskrit 'shloka' yang bermaksud berseloroh, berjenaka atau menyindir. Tambahan pula, seloka lebih merupakan pepatah, bidalan atau perumpamaan yang mengandungi unsur jenaka, gurau senda, olokan dan sindiran manakala isi dan mesejnya sarata dengan sindiran yang berguna untuk menjadi pengajaran kepada pendengar. Misalnya, Seloka Pak Kaduk, Seloka Pandai Pak Pandir dan Seloka Emak Si Randang.
Puisi Moden
Dalam puisi moden, terdapat satu genre puisi iaitu sajak. Sajak merupakan puisi moden yang lebih bebas dan terikat pada sesuatu pola khusus walaupun perlu memfokuskan kepada ciri matra, rima dan rentak. Secara khususnya, sajak sangat mementingkan keberkesanan pengucapan perasaan melalui pemilihan dan penggunaan kata-katanya yang menurut erti dan dan irama. Tambahan pula, sajak terbentuk melalui suara hati atau luahan perasaan penyajak itu. Oleh itu, sajak yang baik dapat mendukung gagasan dan pemikiran yang membentuk renungan masyarakat. Selanjutnya, dalam sajak terkandung juga ciri yang dapat diperhatikan iaitu tidak terikat pada peraturan seperti pemilihan kata atau diksi, pembentukan rangkap, baris serta pematuhan skima rima akhir yang terdapat dalam puisi tradisional.
4.0 Fungsi Kesusasteraan Melayu
Hakikatnya,
sastera yang dihasilkan oleh pengarang sudah tentu ada tujuannya dan
bukan semata-mata diwujudkan. Pengarang
ingin memberi mesej dan pengajaran yang telah dialaminya kepada masyarakat
dalam bentuk sastera. Malah, sastera Melayu itu juga memperlihatkan
segala-galanya itu digambarkan secara menarik kerana terlihat pada gaya
bahasa, struktur cerita dan peranan yang didukung oleh sastera itu sendiri.
Maka, fungsi sastera Melayu mewujudkan pemikiran yang bijaksana dan sentiasa
memimpin manusia untuk mencapai kemajuan.
4.1 Aspek Hiburan
Dalam sastera telah dinyatakan keperluan menghiburkan akan mewujudkan karya sastera yang membawa keseronokan yang indah kepada pembaca. Hiburan terhasil daripada keindahan kata-kata yang diucapkan, irama atau rentak yang tersusun, kemampuan kaya sastera untuk mempengaruhi emosi pembaca dan pendengar serta unsur kelucuan yang juga diselitkan. Tambahan pula, masyarakat menerima karya sastera ini berfungsi sebagai bahan hiburan kerana karya ini diminati pada zaman dahulu. Misalnya, cerita penglipurlara, pantun dan sebagainya. Pantun juga merupakan karya yang cukup popular sewaktu ketika dahulu kerana keupayaannya membawa kepada keindahan yang menghiburkan.
Dari sudut lain, karya sastera rakyat iaitu cerita jenaka juga boleh dilihat sebagai unsur hiburan. Pak Kaduk antara cerita jenaka yang menonjolkan unsur hiburan kerana seperti yang diketahui cerita ini mengisahkan watak utama Pak Kaduk yang gila berlaga ayam. Oleh itu, cerita ini bukan sahaja menghiburkan tetapi sarat dengan mesej dan pengajaran yang ingin disampaikan. Melalui sikap Pak Kaduk yang tidak berfikir panjang apabila ingin membuat keputusan dengan menerima apa sahaja yang ditawarkan tanpa meneliti dahulu baik buruknya, menunjukkan bahawa kita hendaklah berhati-hati dalam membuat keputusan dengan memikirkan kesan jangka panjang kerana orang yang kurang bijak mudah diperdaya oleh mereka yang lebih licik.
4.2 Aspek Pendidikan
Bagi aspek pendidikan ini merupakan aspek yang penting juga kerana bertujuan untuk mendidik murid-murid melalui karya sastera yang telah dihasilkan oleh pengarang terdahulu. Maka, para pengarang menyampaikan atau menghasilkan karya mereka melalui pengalaman-pengalaman mereka dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, politik, sosial dan agama. Oleh itu, dengan terhasilnya prosa atau puisi yang sarat dengan unsur-unsur pengajaran, moral atau ilmu pengetahuan yang tinggi nilainya maka berlakulah proses pendidikan secara tidak langsung. Jelaslah bahawa, kesusasteraan Melayu dapat dijadikan sebagai medium pengajaran kepada masyarakat Melayu khususnya dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu yang telah diperkenalkan pada tahun 1957. Selanjutnya, matlamat yang ingin mereka capai ialah pelajar atau rakyat Malaysia dapat mendalami unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan dan menanam perasaan bangga serta cinta akan tanah air. Maka, pentingnya pengajaran Kesusasteraan Melayu ini agar dapat mencerminkan masyarakat kesenian yang kreatif, berkemampuan dalam mengkaji keindahan karya sastera dan menguasai kemahiran berbahasa Melayu.
4.3 Aspek Dakwah
Dakwah merupakan proses penyampaian atau penyebaran ajaran agama Islam dengan lebih sempurna melalui medium bahasa yang dapat difahami oleh orang lain. Selain itu, ciri-ciri penting bagi pembentukan pandangan sastera adalah nilai ijabiyah (positif) dan waqi'iyyah (realistik) yang meneliti bagaimana sesuatu itu terjadi. (Siddiq Fadzil, 2012). Hal ini dikatakan demikian kerana, pandangan yang haq dalam menilai dan melukiskan sesuatu hakikat dengan menekankan peranan al-tawjih (membimbing) dan al-ta'dib (mendidik), pengisbatan ciri-ciri estetik dan prinsip takamul serta takmilnya.
Selanjutnya, dalam kertas kerja Ismail Hamid yang bertajuk ''Ciri-ciri Cereka Keislaman'' terkandung beberapa ciri yang dapat digunakan untuk menentukan sama ada karya itu boleh dibuktikan sebagai sastera Islam yang memberi dakwah ataupun tidak. Maka, Ismail telah menekankan bahawa ciri-ciri cereka Islam mestilah menumpukan kepentingan fungsi dan amanat cereka tersebut serta membawa kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Kesannya, pengarang tidak akan merosakkan dan memperdayakan prinsip-prinsip Islam. Dalam masa yang sama, hasil-hasil kesusasteraan ini Melayu kaya dengan nilai-nilai mendidik sama ada secara langsung atau tidak langsung.
4.4 Aspek Kritikan Sosial
Sastera merujuk kepada pengalaman hidup yang dialami oleh seseorang daripada pelbagai dimensi dan dari sudut pandangan yang berbeza. Hal ini dikatakan demikian kerana, sesuatu yang dipaparkan dalam sastera adalah sesuatu yang berlaku dan terjadi dalam realiti kehidupan manusia. Disebabkan itu, sastera adalah gambaran kehidupan manusia sebagaimana yang ditegaskan oleh Usman Awang, A.Samad Said dan Dharmawijaya.
Setiap susun lapis masyarakat, wujudnya jurang dalam kalangan mereka. Perkara ini akan mempengaruhi tindakan dan tatasusila sama ada untuk tujuan menegur, mengkritik ataupun menyampaikan mesej. Selain itu, pelbagai tafsiran yang diketengahkan berdasarkan dua buah karya novel iaitu Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Abdullah dan Titis Darah Terakhir oleh Adhyat Helmy. Pengarang bagi kedua-dua novel ini menggunakan cara yang sama iaitu watak akan memberi kesan kepada pembaca walaupun terdapat beberapa perbezaan dari aspek cara perjuangan.
5.0 Manifestasi akal budi masyarakat Melayu dalam pantun tradisional Melayu.
Puisi tradisional adalah satu elemen yang penting kepada orang Melayu bagi mengungkapkan pemikiran dan akal budinya ketika berinteraksi. Puisi tradisional ini menjadi cerminan kehalusan budi, ketinggian ilmu serta pemikiran masyarakat Melayu dahulu ketika berkomunikasi. Akal budi pula melambangkan perbuatan, pemikiran dan sikap seorang manusia yang mendokong kebijaksanaan dan kehalusan jiwa.
5.1 Akal Budi dalam Pantun
Pantun merupakan manifestasi terbaik seni sastera orang Melayu kerana ini adalah cara untuk menyampaikan perasaan dan pemikiran mereka. Maka, pantun sangat sesuai dengan jiwa orang Melayu kerana dapat menunjukkan keperibadian orang Melayu yang mempunyai keseniaan serta kebudayaan sendiri. Terdapat beberapa contoh pantun tradisional di bawah berserta manifestasinya.
Daun terap di atas dulang,
Anak udang mati dituba;
Dalam kitab ada terlarang,
Perbuatan haram jangan dicuba.
(Pantun Warisan Rakyat)
Daun terap ialah sejenis tumbuhan bermanfaat kepada masyarakat Melayu yang mampu menjadi penawar kepada pelbagai jenis penyakit atau gejala. Antaranya ialah pening kepala, pedih perut daan badan menggigil serta berfungsi sebagai ubat antigout.
Anak udang mati dituba bermaksud anak udang itu mati akibat diracun oleh penuba. Penuba merupakan individu yang melakukan perbuatan meracun. Jika dilihat pada maksud pantun tersebut, kita mengetahui sebagai seorang muslim sejati, kitab yang menjadi panduan hidup kita ialah Al-Quran dan As-Sunnah. Segala perbuatan atau perilaku kita mestilah berpaksikan kepada Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan umat Islam sepanjang zaman.
Dalam Al-Quran yang telah diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibril, telah disebutkan dalam surah Al-Baqarah ayat 188 tentang larangan yang wajib dijauhi dan dihindari. Firman Allah SWT:
Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).
Allah SWT turut melarang perbuatan lain seperti minum arak, perzinaan dan kegiatan merompak. Perkaitan antara baris pembayang dan maksud pantun dapat dilihat melalui perbuatan yang tidal elok dan perlu dibendung sama seperti larangan Allah SWT.
Lebat daun bunga tanjung,
Berbau harum bunga cempaka;
Adat dijaga pusaka dijunjung,
Baru terpelihara adat pusaka.
(Sumber: Pantun Melayu Sastera, 1966)
Berdasarkan pantun ini, mesej penyair ialah untuk menyatakan kepentingan seseorang itu menghargai warisan pusaka dengan menggunakan pembayang daripada bunga tanjung dan bunga cempaka kerana sifat bunga ini yang sering menjadi bunga ritual dan budaya yang dijadikan sebagai elemen peneguh kepada motif yang dihajatkan, iaitu memelihara warisan adat pusaka.
Selain itu, kedua-dua bunga ini sering digunakan untuk penyeri di laman rumah dan istana serta dalam upacara penyeri dalam mandian. Malah, bunga tanjung dan cempaka sering dikaitkan dengan keharuman yang berpanjangan, seperti adat yang memberi kesan baik kepada masyarakat jika dijaga dengan baik.
Adat dijaga pusaka dijunjung bermaksud adat dan pusaka harus dihormati serta dijaga agar tidak lenyap ditelan zaman. Jika masyarakat menjaga adat, warisan budaya akan terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Todak menyerang Singapura,
Habis dikerat dicincang lumat;
Bila khianat pada manusia,
Dunia akhirat tidak selamat.
(Pantun Warisan Rakyat)
Pembayang pantun ini berdasarkan kisah ikan todak yang menyerang Singapura ekoran peristiwa Tun Jana Khatib yang dihukum bunuh tanpa perbicaraan yang adil. Hal ini dikatakan demikian kerana, perbuatan Tun Jana Khatib yang mengganggu isteri Paduka Seri Maharaja Raja Singapura yang berada di bawah sepohon pokok pinang gading.
Tun Jana Khatib telah menggunakan ilmu hikmat yang dimilikinya untuk membuatkan pokok pinang terbelah dua . Serangan todak tersebut telah menyebabkan ramai rakyat Singapura terbunuh.
Maksud pantun tersebut ialah kita mestilah menghindarkan diri daripada sifat khianat sesama manusia. Khianat bererti tidak menepati janji atau melanggar amanah. Manusia yang mengkhianati orang lain akan ini akan tergolong dalam kalangan orang munafik kerana mengingkari perkara yang telah diamanahkan.
Hal ini dikatakan demikian kerana, individu pasti akan menerima balasan di dunia dan akhirat atas perbuatannya. Antaranya ialah individu pasti sukar mendapatkan kepercayaan individu sekeliling. Di akhirat pula, Allah SWT telah menjanjikan pembalasan buat manusia yang bersifat khianat.
Penulis telah memberikan gambaran buruk tentang kesan sekiranya individu sentiasa bersifat khianat melalui kisah Tun Jana Khatib sehingga tercetusnya tragedi todak menyerang Singapura.
Biar orang mencabut cendawan,
Kita mencabut padi kan mati;
Biar orang berebut bangsawan,
Kita berebut budi pekerti.
(Sumber: Pantun Melayu Sastera, 1966)
Pemikiran pantun ini dapat dilihat melalui aspek tersirat iaitu pemilihan diksi bagi pembayang yang berkaitan dengan alam semula jadi iaitu cendawan dan pokok padi. Dalam pantun ini, cendawan merupakan tanaman yang memberikan banyak manfaat kepada kita dan cendawan juga dapat dimakan manakala istilah padi kan mati merujuk kepada padi yang mati dan tidak boleh menghasilkan beras lagi.
Jika dibandingkan antara cendawan dan padi yang telah mati maka orang akan memilih cendawan. Dengan ini, cendawan di dalam pantun ini diibaratkan sebagai sebuah gelaran atau pangkat kerana manusia zaman sekarang lebih terkejar-kejarkan perkara itu.
Selain itu, padi yang mati juga diibaratkan sebagai sifat budi pekerti yang semakin dihiraukan oleh masyarakat sekarang kerana orang yang berketurunan bangsawan itu memang ramai namun, untuk mencari orang yang mempunyai budi pekerti tinggi adalah sukar.
Pantun ini juga berhubungkait dengan keaadaan sekeliling dalam kalangan masyarakat dan juga turut menggunakan unsur-unsur persekitaran seperti cendawan dan padi. Maka, akal budi dalam pantun ini memupuk masyarakat supaya tidak mengejar sesuatu yang isitimewa sahaja malah kita perlu memiliki sesuatu yang berharga iaitu budi pekerti.
Jangan suka menetak rebung,
Rebung itu banyak buluhnya,
Jangan suka berlagak sombong,
Sombong itu banyak musuhnya.
(Tunjuk Ajar dalam Pantun Melayu: 80)
Rebung ialah anak buluh yang akan membesar menjadi rumpun buluh yang banyak manakala meretak rebung melambangkan perbuatan yang kelihatan kecil tetapi boleh membawa kesan besar pada masa hadapan.
Secara kiasannya, pantun ini memberi peringatan bahawa perbuatan buruk yang dilakukan secara kecil-kecilan boleh membawa akibat yang lebih besar. Maka, jika seseorang tidak dibimbing dengan baik sejak kecil, dia mungkin membesar dengan akhlak yang kurang baik.
Jangan suka berlagak sombong bermaksud sifat sombong tidak disukai orang lain dan boleh menyebabkan seseorang kehilangan kawan serta sokongan.Oleh itu, kita perlulah mengekalkan sikap rendah hati dalam kehidupan seharian kerana hubungan sosial yang baik lebih bernilai daripada kebanggaan diri.
6.0 Rumusan
Natijahnya, pengetahuan berkaitan sastera Melayu perlulah diamalkan oleh setiap masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana sastera yang dipelajari memperolehi banyak manfaat yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Malah, akal budi yang terdapat dalam karya sastera ini menunjukkan bahawa sastera bukan sahaja karya yang biasa tetapi sastera merupakan karya yang menyampaikan mesej disebalik hiburan. Oleh itu, kita sebagai generasi muda perlulah sentiasa berusaha sedaya upaya dalam mempelajari seni kesusasteraan Melayu ini sekali gus memelihara salah satu khazanah negara.
Rujukan
Azman Rahmat, Mohd Nazri Zainuddin, Shamsudin
Abu Bakar, Abdul Rani Hassan & Hasnah Awang, (2023). Kesusasteraan &
Kebudayaan Melayu. (Ed, ke-2). Selangor: Firdaus Press Sdn. Bhd.
Goh Hin San
& Azhar Wahid, (2023). Unsur-unsur Keindahan dan Nilai Murni dalam Pantun
Melayu Gubahan Loo Mun berdasarkan Teori Puisi Sastera Melayu. [Online],
[Diakses: 18 Februari 2025]. http://rumpunjurnal.com/jurnal/index.php/rumpun/article/view/181
Madiawati
Mamat@Mustafa, Nurhamizah Hashim & Eizah Mat Hussain, (2020). Manifestasi
perpaduan dalam era malaysia baharu melalui kumpulan pantun warisan.
[Online], [Diakses: 18
Februari 2025]. https://journalarticle.ukm.my/14803/1/39250-124701-1-SM.pdf
Norazimah
Zakaria, Azlina Abdullah, Sharifah Zakaria & Mimi Abdul Mutalib, (2017). Akal
Budi Dan Cerminan Jati Diri Melayu Dalam Pantun. [Online],
[Diakses: 18 Februari 2025]. https://jsass.uis.edu.my/index.php/jsass/article/view/105/88
Tuti Adriani,
(2012). Pantun Dalam Kehidupan Melayu. [Online], [Diakses: 18 Februari 2025].
https://ejournal.uin-suska.ac.id/index.php/SosialBudaya/article/view/383/365
Zarina Tajuddin
& Anida Saruddin, (2018). Metafora bunga kiambang dalam pantun melayu
berdasarkan teori relevans dan rangka rujuk silang. [Online], [Diakses: 18
Februari 2025]. https://www.researchgate.net/profile/Anida-Sarudin/publication/335442462
No comments:
Post a Comment